Skip to main content

JABATAN PEMBANGUNAN & PENGURUSAN ASET | UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

JABATAN PEMBANGUNAN
& PENGURUSAN FASILITI

BERITA

JPPF GREEN DAY 2026 SEMARAKKAN BUDAYA KELESTARIAN DI USM

USM, PULAU PINANG, 21 Julai 2026 – Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan JPPF GREEN DAY 2026 bertemakan " Bersama Membina Masa Depan Lestari " di JPPF, Kampus Induk USM bagi memperkukuhkan budaya kelestarian dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan warga kampus.

Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini membawa slogan " Menginspirasikan Perubahan • Memupuk Alam Semula Jadi • Membina Masa Hadapan ", sejajar dengan komitmen USM dalam memperkasakan agenda Green Campus serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs).

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pegawai Kelestarian JPPF Encik Zairil Azhar Bin Zainol yang mengalu-alukan kehadiran para peserta dan menekankan kepentingan penglibatan seluruh warga kampus dalam usaha memelihara alam sekitar.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Encik Salmi Bin Ismail.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata bahawa kelestarian perlu dijadikan budaya kerja dan amalan harian setiap warga universiti.

"Usaha membangunkan kampus yang hijau dan lestari memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak. Program seperti JPPF Green Day bukan sekadar aktiviti tahunan, malah menjadi platform untuk menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar serta memastikan kampus terus menjadi persekitaran yang kondusif, selamat dan mampan untuk generasi akan datang," katanya.

Beliau turut menyeru agar setiap warga USM mengamalkan budaya hijau melalui penjimatan tenaga, pengurangan sisa, amalan kitar semula serta pemeliharaan landskap sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.

Antara pengisian utama program ialah Taklimat Kaedah Penanaman Pokok yang disampaikan oleh Ketua Landskap JPPF Cik Nur Safraa Sharry Binti Shahzada Padzni dan turut dibantu oleh Pegawai Pertanian JPPF Encik Wan Zaharin Bin Wan Ismail, bertujuan memberi pendedahan mengenai teknik penanaman yang betul serta kepentingan pemilihan spesies pokok dalam usaha meningkatkan kelestarian landskap kampus.

Aktiviti Penanaman Pokok Di Dalam Pasu 2
Aktiviti Penanaman Pokok Di Dalam Pasu 3
Aktiviti Penanaman Pokok Di Dalam Pasu 4
Aktiviti Penanaman Pokok Di Dalam Pasu 5
Aktiviti Penanaman Pokok Di Dalam Pasu 6
Aktiviti Penanaman Pokok Di Dalam Pasu
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 2
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 3
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 4
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 5
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 6
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 7
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 8
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 9
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap 10
Sesi Tanaman Pokok Di Kawasan Landskap

Program diteruskan dengan demonstrasi dan sesi penanaman pokok di kawasan landskap JPPF yang melibatkan warga jabatan, diikuti aktiviti gotong-royong penanaman pokok sebagai simbol komitmen bersama dalam memelihara dan memperkayakan kehijauan Kampus Induk USM.

Selain memperindah landskap kampus, aktiviti penanaman pokok ini turut menyokong usaha universiti dalam meningkatkan litupan hijau, mengurangkan kesan perubahan iklim, memperbaiki kualiti udara serta mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pekerjaan yang lebih kondusif.

Pokok Baru Yang Ditaman 4

Pokok Baru Yang Ditanam 2

Pokok Baru Yang Ditanam 3

Pokok Baru Yang Ditanam

Penganjuran JPPF Green Day 2026 diharap dapat meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan amalan kelestarian, memperkukuhkan budaya Green Campus dan menggalakkan penyertaan aktif komuniti universiti dalam memelihara alam sekitar. Program ini juga membuktikan komitmen berterusan JPPF sebagai peneraju pengurusan fasiliti yang mampan selaras dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia untuk menjadi sebuah universiti yang unggul dalam kelestarian.

Program berakhir dengan sesi bergambar dan majlis bersurai selepas selesai aktiviti penanaman pokok yang menjadi lambang iltizam bersama ke arah membina kampus yang lebih hijau, lestari dan sejahtera.


BERITA

PELAKSANAAN KERJA BAIK PULIH SECARA UNDIAN TAHUN 2026

PULAU PINANG, 9 Julai 2026 – Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Majlis Sesi Cabutan Undi bagi Kerja-Kerja Baik Pulih Secara Undian Tahun 2026 di Auditorium INFORMM, Kampus Induk USM. Sesi tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi JPPF bagi memastikan proses pemilihan dilaksanakan secara terbuka dan telus.

Sebanyak 37 kerja baik pulih telah ditawarkan merangkumi tiga kategori utama, iaitu mekanikal, elektrik dan awam. Seramai 693 syarikat kontraktor Bumiputera yang memenuhi syarat kelayakan telah menyertai sesi cabutan undi tersebut.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Encik Mohd Salmi Ismail, serta dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan universiti, wakil Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang dan wakil Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Cawangan Pulau Pinang.

Penganjuran sesi cabutan undi pada tahun ini merupakan pelaksanaan kali keenam oleh JPPF Kampus Induk USM sebagai mekanisme pemilihan kontraktor bagi kerja-kerja baik pulih yang berlandaskan prinsip ketelusan, keadilan dan integriti.

Dalam ucapan perasmian, Encik Mohd Salmi Ismail berkata sambutan yang menggalakkan daripada kontraktor di seluruh Pulau Pinang membuktikan keyakinan berterusan terhadap sistem pengurusan kerja baik pulih yang dilaksanakan oleh USM. Beliau berharap kontraktor yang berjaya dipilih dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh profesionalisme, mematuhi spesifikasi kerja, mengutamakan aspek keselamatan serta memastikan setiap projek disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa penyampaian hasil kerja yang berkualiti bukan sahaja mencerminkan profesionalisme kontraktor, malah menyokong usaha universiti dalam memastikan penyelenggaraan dan pembangunan fasiliti kampus dilaksanakan secara lebih cekap, sistematik dan berkesan demi keselesaan seluruh warga universiti.

Cabut Undi 1

Cabut Undi

Pada majlis yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pegawai USM, wakil Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, wakil Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Cawangan Pulau Pinang serta seluruh warga Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) dan Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan penganjuran program tersebut.

Kontraktor yang berjaya dipilih akan menghadiri sesi taklimat, lawatan tapak dan pengesahan penerimaan tawaran kerja di Pejabat JPPF bermula 10 hingga 14 Julai 2026, sebelum kerja-kerja baik pulih dilaksanakan di Kampus Induk USM.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan JPPF dan USM dalam memperkukuh amalan tadbir urus yang baik melalui pelaksanaan proses perolehan yang telus, berakauntabiliti dan berintegriti, sekali gus memastikan penyelenggaraan fasiliti universiti dapat dilaksanakan secara berkualiti demi manfaat seluruh warga kampus.


SESI TAKLIMAT KEPADA KONTRAKTOR BERJAYA

Sususlan kepada sesi cabutan undi, satu sesi taklimat kepada kontraktor yang berjaya telah diadakan pada 16 Julai 2026 di Bilik Tutorial 141, G27, Kampus Induk USM.

Taklimat tersebut bertujuan memberikan penerangan berkaitan dasar keselamatan universiti, prosedur kerja serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh kontraktor dan pekerja sepanjang melaksanakan kerja-kerja baik pulih di dalam kampus. Selain itu, penerangan mengenai urusan kewangan serta proses pendaftaran kontraktor dalam sistem eP@USM turut disampaikan bagi memastikan setiap kontraktor memahami keperluan dan tatacara kewangan.

Sesi taklimat telah disampaikan oelh wakil Jabatan Keselamatan, wakil Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) serta wakil Jabatan Bendahari.

Sesi Pendaftaran Ep 2

Sesi Pendaftaran Ep

Bagi kontraktor yang belum berdaftar sebagai kontraktor USM atau yang tempoh pendaftarannya telah tamat, Unit Pembekal, Seksyen Pengurusan Pembelian Terus dan Pembekal, Jabatan Bendahari telah mengadakan sesi bantuan secara bersemuka pada 16 Julai 2026 di Bilik Latihan C04, Jabatan Bendahari. Inisiatif ini bertujuan memudahkan urusan pendaftaran dan memastikan semua kontraktor memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum kerja-kerja baik pulih dimulakan.